2007- Cikgu Aliza diuji lagi dengan kenakalan seorang pelajar Tingkatan Empat Sains 1 iaitu Bujang. Maklumlah “honey-moon-year” dan macam-macam karenah yang dilakukan. Saat Cikgu Aliza memulakan sesi pengajaran, saat itulah Bujang akan mula melayari mimpi-mimpi indah tanpa mempedulikan sesiapa yang berada di sekelilingnya. Ditegur dia akan buat tidak endah. Inikan pula kalau disuruh menghantar latihan atau kerja rumah. Ponteng kelas merupakan tabiat rasmi Bujang. Dia merupakan pelajar top yang terkenal dengan jumlah ketidakhadiran yang paling kerap. Kalau masuk kelas pun hanya akan menjadi pengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Kerap kali dimarahi. Geram Cikgu Aliza sudah berada di kemuncak dan bisa meletus pada bila-bila masa sahaja.
Di rumah Bujang ditatang bagai minyak yang penuh. Semua kehendaknya diturutkan oleh orang tuanya. Maklumlah anak pengurus besar ladang kelapa sawit. Tambahan lagi Bujang merupakan anak tunggal kepada pasangan suami isteri, En. Markley dan Puan Silbia. Pergi dan balik dari sekolah, Bujang tidak perlu bersusah payah bersesak dengan pelajar yang lain. Ini kerana, pemandunya akan setia menunggu di pintu masuk ke kawasan sekolah.
Pada suatu ketika, Cikgu Aliza mengisytiharkan perang psikologi dengan Bujang setelah peristiwa yang terjadi pada pagi itu. “SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA EN. BUJANG MARKLEY DAN CIK ALIZA BINTI AWANG ISMAIL”. Itulah pernyataan yang ditulis oleh Bujang pada papan putih dan para pelajar yang lain berdiam diri sebaik sahaja Cikgu Aliza masuk ke ruangan kelas Tingkatan Empat Sains 1 kerana takut akan dimarahi oleh Bujang. Cikgu Aliza menarik nafas sedalam yang mungkin untuk menstabilkan kembali emosinya. Dengan sekali pandang, Cikgu Aliza sudah tahu yang tulisan itu adalah milik Bujang. Walau apapun cara penulisannya, Cikgu Aliza tetap akan kenal dengan tulisan Bujang. Itulah anugerah yang terindah bagi seorang guru.
“ Tolonglah,cikgu! Sumpah demi nama mak bapak saya,cikgu. Itu bukan tulisan saya. Kalau cikgu tak percaya, cikgu semaklah buku nota saya. Tulisannya pasti takkan sama”. Bujang mula beraksi bagai seorang pelakon yang tidak terlatih. Dia sengaja mengenakan Cikgu Aliza maklumlah Cikgu Aliza masih belum bertemu jodoh walaupun sudah berusia 40-an.
“Hmmmm….mun cikgu mok nikah dengan mek, petang tok juak mek madah ngan bapak mek. Mek tauk cikgu suka ngan mek, tapi cikgu malu-malu. Iboh la cam ya cikgu. Mun bukan aku, sik da jejaka lain yang mok nikah ngan cikgu kelak.”Bahasa Melayu Sarawak sengaja Bujang pertuturkan. Bujang menghulurkan tangan seolah-olah mahu melamar Cikgu Aliza lalu mencubit manja pipi Cikgu Aliza. Muka Cikgu Aliza kemerahan menahan malu dan marah. Inilah kali pertama beliau dipermainkan oleh pelajarnya sendiri dengan sebegitu rupa. Ya Tuhan, kurniakan aku kesabaran yang tiada batasnya dariMu. Sebelum ini, Cikgu Aliza pernah terkena gam pelekat pada baju kurungnya,diberi surat layang, dan macam-macam lagi tapi kali ini Cikgu Aliza bagaikan kehilangan sabar. Cikgu Aliza menarik nafas panjang untuk menstabilkan kembali emosinya. Mulai saat itu, Cikgu Aliza bertindak untuk menghapuskan kewujudan Bujang dalam kelas itu. Tidak terlintas dalam fikiran Cikgu Aliza berbuat demikian tetapi Bujang haruslah diberi pengajaran.
“Cikgu, saya nak ke tandas sekejap. Bolehkan,cikgu?” Bujang cuba memulakan perbualan dengan Cikgu Aliza.
“Cikgu, saya tak tau jawapan untuk soalan nombor 10,cikgu. Cikgu tulislah jawapan pada papan putih di depan tu.”
Cikgu Aliza buat tidak tahu sahaja.
“ Cikgu nak tahu ke? Otak burung unta lebih kecik daripada matanya.”Bujang cuba menarik perhatian gurunya namun masih gagal.
“Cikgu, apa maksud salam Satu Malaysia? Bapak saya suka sangat dengan ungkapan tu”ujar Bujang. Namun sepatah pun tidak Cikgu Aliza menjawab.
Begitulah hari demi hari, Bujang bagaikan tidak wujud setiap kali sesi pengajaran Cikgu Aliza. Terdetik juga dalam hati Cikgu Aliza untuk menamatkan perang itu,namun untuk kebaikan Bujang, beliau terpaksa meneruskannya.
Setelah berada di Tingkatan Lima, Bujang mula menyedari yang dia memerlukan bantuan Cikgu Aliza lebih-lebih lagi dia menghadapi masalah dalam mata pelajaran Biology. Cikgu Aliza merupakan satu-satunya guru biology di sekolah itu. Bujang sentiasa mengintai peluang untuk bersemuka dengan Cikgu Aliza dan meminta maaf.
Akhirnya kesempatan itu datang juga. Bujang secara sengaja menemui Cikgu Aliza yang sedang menuju ke arah tempat letak kereta. Bujang menunggu di depan Proton Wira berwarna putih milik Cikgu Aliza.
“ Cikgu, saya minta maaf kerana telah banyak melukakan hati cikgu. Saya tahu cikgu sangat membenci saya. Dan, saya juga tahu cikgu sudah membuang saya jauh-jauh dari hidup cikgu.” Bujang menagih simpati. Tampak ketulusan daripada riak wajahnya. Bujang benar-benar sudah insaf dan mulai sedar. Hati kecil Cikgu Aliza tersenyum bahagia. Pengajarannya berkesan. Beliau telah berjaya membentuk Bujang tanpa menggunakan sepatah kata tapi dengan minda, hati dan jiwanya.
Sepi. Sunyi. Tiada kata –kata yang terungkap. Cikgu Aliza memilih untuk membatu. Bujang masih tercegat kaku menantikan respon positif daripada Cikgu Aliza.
“ Cikgu,maafkan saya, cikgu. Saya betul-betul menyesal atas kesilapan saya yang lalu. Saya berjanji akan menjadi yang terbaik buat cikgu dan juga orang tua saya…”terdengar nada kesayuan bergayut di hujung suara Bujang.
“Tak usah kamu berjanji dengan cikgu,Bujang. Berjanjilah pada diri kamu sendiri dan buat pilihan yang terbaik untuk masa depan kamu.” Cikgu Aliza masih menunjukkan sikap yang dingin.
Cikgu Aliza masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin kereta. Tiada petanda Cikgu Aliza yang menunjukkannya memaafkan Bujang. Melihat raut wajahnya saja cikgu Aliza tak sudi inikan pula untuk memaafkannya. Bujang sedar kelakuannya memang keterlaluan terhadap Cikgu Aliza.
Pertemuan yang disengajakan itu berakhir begitu sahaja.
Pada pagi itu, Cikgu Aliza dikejutkan dengan sekotak hadiah yang diletakkan atas mejanya. Ada apa yang istimewa dengan hari ini, bisik hati Cikgu Aliza. Dengan hati yang berdebar-debar, Cikgu Aliza memberanikan diri membuka kotak tersebut untuk mengetahui apakah kandungannya. Masih segar ingatannya terhadap peristiwa ada Hari Guru tahun lepas. Bujang menghadiahkan sebuah kotak kecil yang berisi dua ekor katak dan tiga ekor lipas. Walau apapun, Cikgu Aliza sedikit pun tidak pernah menyimpan dendam terhadap perbuatan anak muridnya itu. Tiba-tiba terbayang wajah sayu Bujang yang meminta maaf kepadanya petang semalam.
Cikgu Aliza sangat terpegun sebaik sahaja kotak itu dibuka. Sebuah POTRET yang terlakarnya wajah manis Cikgu Aliza. POTRET yang sangat sempurna. Mata Cikgu Aliza terhenti pada sudut tepi POTRET itu.
Aku adalah manusia batu keras yang kini dijelmakan menjadi permata,
Aku adalah kertas hitam yang kini dicoretkan dengan kasih nan bercahaya,
Aku adalah sampah sarap yang kini dikitar semula dengan madah bermakna,
Kini, aku adalah aku…
Hasil karya terindah daripada seorang guru.
Terima kasih, cikgu…
Bujang
Cikgu Aliza mendapat khabar bahawa Bujang terpaksa berpindah ke sekolah yang baharu kerana mengikut orang tuanya. Tidak diduga, pertemuan semalam adalah pertemuan yang terakhir. Kini setiap kali Cikgu Aliza merenung POTRET itu, beliau akan berdoa agar Allah memberkati kehidupan Bujang. Cikgu Aliza bersyukur kerana berjaya membentuk Bujang menjadi insan yang berguna. Selamat berjaya untuk peperiksaan SPM yang bakal kamu duduki. Bisik hati kecil Cikgu Aliza sambil tersenyum bangga.
*cerpen utk assgnment Bahasa Melayu*
Monday, August 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment